Puasa :)



Apa khabar para pembaca sekalian .

harini aku rajin skit nak update blog , haha . dan entri kali ini mengenai puasa :)

Muslimin muslimat sekalian!
Setiap kali datang bulan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia akan menyambutnya dengan berpuasa. Allah memuliakan bulan Ramadhan kerana ia adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (al-Baqarah: 183)
Malah malaikat Jibril a.s akan turun bertadarus al-Quran bersama Rasulullah s.a.w sepanjang bulan Ramadhan.
Daripada Ibnu Abbas r.a.: “Jibril a.s. berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. setiap malam pada bulan Ramadhan dan bertadarus al-Quran bersama Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Muslimin muslimat sekalian!
Al-Quran adalah petunjuk yang menjadi panduan hidup kita. Ia memperkenalkan kita dengan Tuhan kita, hakikat kehidupan dunia akhirat, memimpin kita ketika dalam keadaan kebingungan, aturcara dalam setiap perincian hidup. Ia adalah al-Furqan yang membezakan antara yang hak dan yang batil.
Hari ini kita menyambut Ramadhan dengan penuh kemeriahan, tetapi kita meninggalkan al-Quran di belakang kita.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. (Al-Furqan: 30)
Cara hidup kita bercampur baur antara hak dan batil atau antara Islam dengan jahiliah.
Kehidupan liberal yang bolos dari sebarang ikatan iltizam akhlak, menyucikan hawa nafsu, berlegar sekitar manusia dan harta dan mengabaikan batasan halal dan haram.

Muslimin muslimat sekalian!
Sempena kita menyambut Ramadhan pada tahun ini, marilah kita berazam untuk kembali kepada kehidupan berlandaskan al-Quran, kehidupan iman, kehidupan roh yang berasaskan taqwa.
Mari kita daulatkan Islam dalam segenap sendi kehidupan kita. Percayalah bahawa segala anutan, ideologi dan ajaran selain dari Islam semuanya akan berakhir dan ada yang sudah berakhir.
Al-Quran tetap dijaga oleh Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkan peringatan dan Kamilah yang akan memelihara-Nya.” (al-Hijr: 9)
Puasa adalah satu ibadat wajib yang mesti ditunaikan dengan sepenuh keimanan.
Daripada Ibnu Umar dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Islam itu dibina atas lima perkara, bersaksi tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, menunaikan haji dan puasa pada bulan Ramadhan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ia merupakan satu rukun dari rukun Islam yang lima.

Muslimin muslimat sekalian! 

Allah menjanjikan ganjaran yang tidak terbayang bagi orang yang berpuasa dengan penuh keikhlasan.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. Allah berfirman: “Seluruh amal anak Adam baginya selain puasa, sesung­guhnya puasa itu bagiKu dan Aku membalasnya. Sungguh bau busuknya mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Hadis riwayat Bukhari)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Barangsiapa puasa bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari (Allah), nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad hasan disebutkan: “Dan (dosanya) yang kemudian.”
Puasa ialah menahan diri dari lapar dahaga dan perkara-perkara yang yang membatalkan puasa.
Ulamak membahagikan puasa kepada beberapa kategori:
1. Puasa awam – yakni sekadar lapar dan dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

2. Puasa khusus – iaitu di samping meninggalkan makan, minum dan perkara yang membatalkan puasa, mereka juga meninggal perkara keji dan maksiat.

3. Puasa khusus al-khusus – iaitulah mengawal pemikiran dan lintasan sehingga semuanya mengingati Allah s.w.t.
Muslimin muslimat sekalian!
Selain berpuasa, pada bulan Ramadhan ini Rasulullah s.a.w. juga melakukan ibadah-ibadah lain, antaranya:
1. Tadarus al-Quran
2. Solat qiam/tarawih
3. Memperbanyakkan sedekah
4. Iktikaf 10 malam terakhir Ramadhan.
5. Zikir dan bertaqarrub kepada Allah.
Akhirnya jangan lupa malam Lailatul Qadar. Pastikan kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan malam yang mulia ini.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Malam qadar lebih baik dari seribu bulan” (al-Qadr: 3)
Sekian. Selamat menyambut Ramadhan :)


No comments:

Post a Comment